Pada hari ini terdapat banyak cara untuk bertemu atau mencari teman sama ada teman-teman lama, ketika zaman kanak-kanak ataupun zaman persekolahan dan mungkin rakan untuk perniagaan. Selain bertemu dalam sebuah majlis atau terserempak dengan rakan, terdapat banyak halaman sosial di internet yang menyamai keadaan ini (pertemuan) seperti Facebook, Friendster dan banyak lagi. Adakah kemudahan yang wujud ini akan memberi kita manfaat atau mudharat? Adakah peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya atau disalahgunakan? Semuanya terpulang kepada seseorang individu itu bagaimanakah dia menggunakan kemudahan yang ada, berkemungkinan seseorang itu akan dipengaruhi oleh latarbelakangnya seperti keadaan keluarga, tahap pendidikan, pekerjaan yang diceburi ataupun dalaman seseorang itu sendiri.
Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, kita dapat melihat dalam al-Quran dan hadis ada menyebutkan tentang pertemuan dan perbualan antara insan umumnya, dan antara umat Islam khususnya.
Dapat difahami insan biasa boleh dalam keadaan ceria, bahagia, sedih, muram atau marah. Namun perlu diusahakan untuk menampilkan yang terbaik iaitu dengan wajah yang menyenangkan ini merupakan ajaran Islam, antara cara-cara yang dapat diikuti:
Pertama sekali, bila bertemu atau hendak memulakan perbualan, kita hendaklah dengan niat yang Ikhlas. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu (balasan) apa yang telah diniatkan.”
( Riwayat Muslim )
Kedua, tampillah dengan wajah yang ceria, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu memandang remeh terhadap segala kebaikan, walaupun hanya sekadar kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.”
(Riwayat Muslim)
Apabila berbual, berikanlah kata-kata yang menyenangkan kepada teman yang kita temui itu, Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 38 yang bermaksud:
“Dan ucapkanlah kata-kata baik kepada manusia.”
Kemudian, berusahalah untuk memberikan keselesaan padanya, dalam al-Quran dan Hadis terdapat Adab-adab perbualan yang boleh kita jadikan panduan:
Pertama, hendaklah kita bercakap benar, tidak perlulah berbual perkara yang bukan-bukan. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Tawbah ayat 119 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadilah kalian bersama-sama orang yang benar.”
Kedua, ucapkanlah perkataan yang baik kepada teman-teman kita elakkanlah mengguris perasaan mereka.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jagalah diri daripada api neraka walau dengan sebelah kurma. Sesiapa yang tidak mendapatkannya maka lakukan dengan ucapan yang baik.”
(Riwayat al-Bukhari)
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud:
"Dan ucaplah kata-kata yang baik kepada manusia.”
Ketiga, hendaklah kita kurangkan bercakap, bercakaplah perkara yang perlu sahaja kepada rakan-rakan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci daripada kalangan kalian dan paling jauh daripadaku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bicara.”
(Riwayat al-Tirmizi)